Terengganu dan Kemerdekaan

Menghadapi Kuasa Siam
Kerajaan Siam menuntut Terengganu sebagai naungannya. Bunga Emas dan Bunga Perak yang dihantar oleh Terengganu tiap-tiap 3 tahun sekali dijadikan bukti kuasa Siam ke atas Terengganu. Namun sebenarnya Bunga Emas pertama kali dihantar pada tahun 1781, di masa pemerintahan Sultan Mansur Shah I sebagai tanda balasan hadiah yang diberikan oleh angkatan Siam kepada Sultan Mansur Shah I, kerana membantu angkatan Siam menyerang dan mengalahkan Legor pada tahun 1766.

Sultan Zainal Abidin III ( 1881 – 1918 ) menjelaskan kepada Gabenor SIR Frederick Weld yang datang melawat Terengganu pada tahun 1886 dan 1887, Bunga Emas yang dihantar ke Siam hanya sebagai tanda persahabatan dan bukannya sebagai ufti. Oleh kerana dakwaan Inggeris yang mempunyai hak ke atas Terengganu, kerajaan Siam telah menyerahkan Terengganu kepada Great Britain melalui perjanjian Bangkok 1909. Namun begitu kerajaan Terengganu dibawah Sultan Zainal Abidin III menolak perjanjian ini. Dengan itu perjanjian di antara Terengganu dengan Great Britain ditandatangani pada tahun 1910. Di antara syarat perjanjian ini, Terengganu menerima Wakil British

Menghadapi Kuasa British
Pada tahun 1862, angkatan British di bawah Kolonel R. Macpherson membedil Kuala Terengganu. Pembedilan ini dilakukan kerana British mengesyaki Terengganu memberi bantuan kepada Wan Ahmad menentang abangnya Bendahara Wan Mutahir Pahang pada tahun 1857 – 1863. Hasrat British campurtangan di Terengganu akhirnya tercapai melalui Perjanjian Bangkok yang ditandatangani oleh Kerajaan Siam dan Great Britain pada 10 Mac 1909. Dengan berkuatkuasa perjanjian ini, Kerajaan Siam menyerahkan Terengganu kepada British.

W.L.Conlay dilantik sebagai Ejen British yang pertama di Terengganu. Sultan Zainal Abidin III menolak perjanjian ini dan tidak menerima perlantikan W.L.Conlay. Pertelingkahan Perjanjian Bangkok 1909 akhirnya selesai apabila Terengganu bersetuju menandatangani dengan Great Britain pada 22 April 1910. Dengan berkuatkuasa Perjanjian ini, Terengganu menerima secara rasminya perlantikan Ejen British.

Walaupun demikian, Ejen British tidak mempunyai kuasa di dalam pentadbiran negeri Melayu yang bebas. Seterusnya pada tahun 1911, Kerajaan Terengganu meluluskan Ubdang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu yang menyatakan Terengganu adalah negeri Melayu dan Islam.

British yang tidak puas hati dengan kedudukannya di Terengganu terus menjalankan usaha untuk melibatkan dalam pentadbiran Terengganu. Pada akhirnya British berjaya melalui perjanjian 24 Mei 1919. Perjanjian ini ditandatangani oleh Sultan Muhammad yang menggantikan ayahandanya Sultan Zainal Abidin III. Berkuatkuasa Perjanjian ini, Terengganu buat pertama kalinya menerima Penasihat British. Dalam artikel 11 Perjanjian ini dicatatkan bahawa Sultan Terengganu akan menerima Penasihat British, menyediakan tempat kediaman di Terengganu dan nasihatnya hendaklah diminta serta diikuti dalam semua perkara pentadbiran kecuali Agama Islam.


Tentangan Terhadap British
Penglibatan British dalam pentadbiran Terengganu dan diikuti dengan pengenalan peraturan baru membangkitkan tentangan pada tahun 1922,1925 dan 1928. Gerakan tentangani ini dipimpin oleh Haji Abdul Rahman bin Abdul Hamid ( lebih dikenali sebagai Haji Abdul Rahman Limbong ) dan disokong oleh penduduk Terengganu. Mereka yang terlibat dalam tentangan ini menyifatkan British dan segala peraturan baru yang diperkenal dan dikuatkuasakan ( selepas British campur tangan dalam pentadbiran Terengganu ) adalah peraturan kafir.

Haji Abdul Rahman Limbong telah dibawa ke muka pengadilan. Beliau didapati bersalah dengan menyebarkan ajaran sehingga mencetuskan kebangkitan 1928. Di atas nasihat Dato’ Seri Amar Di Raja Haji Ngah Muhammad, beliau dijatuhkan hukuman buang negeri ke Mekah. Haji Abdul Rahman Limbong meninggal dunia kerana sakit di Mekah pada 6 November 1929.

Kesedaran dan Perjuangan Kemerdekaan 
Terengganu juga tidak ketinggalan dalam gerakan kesedaran dan perjuangan kemerdekaan. Pada Mei 1937, Kesatuan Melayu Muda ( KMM ) ditubuhkan didaftarkan pada Ogos 1938, dibawah pimpinan Ibrahim Haji Yaacob. Matlamat perjuangan Kesatuan Melayu Muda ialah menghindar orang Melayu daripada diperas oleh penjajah dan melahirkan semangat kebangsaan. Juga ingin membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah dan bergabung dengan Indonesia mewujudkan " Melayu Raya " atau " Indonesia Raya ".

Kempen yang dilakukan oleh Presiden KMM, Ibrahim Haji Yaacob di sekitar tahun 1940 – 1941 ke seluruh Tanah Melayu telah berjaya menubuhkan cawangan KMM di Terengganu. Pertemuan Ibrahim Yaacob dengan beberapa orang pemuda di Grand Hotel, Kuala Terengganu membawa kepada penubuhan KMM. KMM cawangan Terengganu diketuai oleh Wan Daud Ahmad; Setiausahanya pula ialah Ibrahim bin Muhamad ( Ibrahim Fikri ). Di antara tokoh lain yang terlibat dalam pengasasan KMM di Terengganu ialah Muda bin Jalil, Ibrahim Sulaiman, Muda Kassim, Muda Rahim dan Zakaria Arshad. Wan Daud Ahmad ialah bekas pelajar Sekolah Inggeris Sultan Sulaiman dan Sekolah Arab Zainal Abidin. Ibrahim Fikri pula ialah bekas pelajar Sekolah Zainal Abidin. Kemudiannya KMM berkembang di daerah Besut. Di antara mereka yang terlibat dalam pembentukan KMM Besut ialah Mohamad Senari Yunus, Ibrahim bin Ismail dan Syeikh Ali bin Mohammad.

Pada tahun 1940 beberapa orang pepimpin KMM seperti Ibrahim Haji Yaacob dan beberapa orang pemimpin Kesatuan Melayu Muda; Ishak Haji Muhammad, Hassan bin Manan, Ahmad Boestaman dan Isa Mohd bin Mahmud ditahan oleh British kerana disyaki merancang pakatan menentang British dan bekerjasama dengan pihak Jepun. Namun demikian, pemimpin KMM Terengganu seperti Ibrahim Fikri dan Wan Daud Ahmad tidak ditahan. Apabila Jepun menguasai Tanah Melayu, KMM yang sedang berkembang dibubarkan pada tahun 1942. Berikutnya pemimpin KMM terlibat dalam Pembela Tanah Air ( PETA ), di bawah pimpinan Ibrahim Haji Yaacob. PETA Terengganu pula dipimpin oleh Ibrahim Fikri. Dalam gerakannya Ibrahim Fikri mendapat sokongan daripada Haji Muhammad Salleh bin Awang.

Pada tahun 1942 – 1945, Terengganu mengalami pendudukan Jepun. Dalam jangka masa ini Terengganu ditadbir oleh Tentera Jepun, 1942 – 1943 dan Pentadbiran Tentera Thai,1943 – 1945. Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dikekalkan diatas takhta kerajaan Terengganu. Pada 18 Mac 1942, Manabu Kuji tiba di Kuala Terengganu untuk memegang jawatan Syuciji ( Gabenor ). Dengan mengekalkan bidang kuasa Sultan dalam hal yang berkaitan dengan agama, pentadbiran tentera Jepun membentuk pentadbiran Terengganu berasaskan kepada empat pejabat; Pejabat Guji Keimu-bu ( Pejabat khas untuk Tuan Syuciji Terengganu ), Pejabat Somu-bu ( Pejabat Am ), Pejabat Zaimu-bu (Pejabat Khazanah ) dan Pejabat Sangyo-bu ( Pejabat perniagaan ) serta Pejabat Kotsu-bu (Pejabat Pengangkutan).

Kemudiannya dalam tahun 1943, pentadbiran tentera Jepun memindahkan pentadbiran Terengganu kepada kerajaan Thai. Pada 15 Oktober 1943 ( 15 Oktober 2603 ), Gabenor dan pegawai-pegawai Thai tiba di Terengganu untuk mengambil alih teraju pentadbiran. Negeri Terengganu diserahkan oleh Kerajaan Dai Nippon kepada kerajaan Thai pada pukul 11.50 pagi, 18 Oktober 1943 ( 18 Oktober 2486).

Pentadbiran Thai di Terengganu berakhir setelah Jepun menyerah kalah kepada pihak Berikat pada 15 Ogos 1945. Dengan itu pada tahun 1945, Terengganu diletakkan di bawah Region 8, pentadbiran Pegawai Kanan Hal Ehwal Awam ( Senior Civil Affairs Officer ) Terengganu yang disandang oleh Leftenan Kolonel D. Headley. Sementara itu Kerajaan British sedang berusaha untuk memperkenalkan Malayan Union di Tanah Melayu. Pada 17 Oktober 1945, Parti Kebangsaan Melayu Malaya ( PKMM ) ditubuhkan di Ipoh, Perak oleh sekumpulan yang terlibat dalam perjuangan KMM. Cawangan KMM merebak ke seluruh Tanah Melayu termasuk Terengganu. PKMM cawangan Kuala Terengganu ditubuhkan di Chabang Tiga oleh Awang bin Ali dan Haji Abdul Latif. Apabila Ibrahim Fikri menyertai PKMM, setelah dibebaskan daripada tahanan pada April 1946, beliau dilantik sebagai Ketua PKMM. Berikutnya pada tahun 1947, beliau dilantik menganggotai Majlis Tertinggi Kerja PKMM. Cawangan PKMM berkembang di Terengganu, antaranya di Dungun dan Besut. Cawangan PKMM Kampung Raja, Besut ditubuhkan pada akhir 1945. Mereka yang terlibat ialah Wan Ahmad sebagai Yang DiPertua, Salleh bin Muhammad sebagai Setiausaha dan Haji Taib bin Abdullah sebagai Bendahari.

Cawangan PKMM Jertih ditubuhkan pada tahun 1946 oleh Ibrahim Ismail dan beberapa orang rakannya seperti A. Rahman bin Muhammad, Mohd Daud bin Samad dan Mohd Noor bin Awang; di Kuala Besut ditubuhkan oleh Yusof bin Embong dan rakannya Mohd Senari Yunos, Wan Hassan bin Muda dan Mohd Noor bin Ismail pada tahun 1947. PKMM juga ditubuhkan di Kemaman pada tahun 1946, dipimpin oleh Wan Yahya bin Haji Wan Muhammad. Angkatan Wanita Sedar cawangan Kuala Besut dengan Wan Zainun sebagai setiausahanya, dirasmikan penubuhannya di Kuala Besut pada tahun 1947. Di samping itu terdapat juga Persatuan Melayu Terengganu, Persatuan Melayu Besut, Persatuan Melayu Kemaman dan Persatuan Melayu Kemasik. Pada tahun 1947, Persatuan Melayu Terengganu dipimpin oleh Tengku Muhammad Pahang dan Persatuan Melayu Besut dipimpin oleh Tengku Lela Segera bin Tengku Nara Di Raja. Persatuan Melayu Kemasik pula dipimpin oleh Muhammad bin Jusoh.

Pada tahun 1946, kerajaan British mengambil keputusan memperkenalkan Malayan Union. Pengenalan Malayan Union mendapat bantahan daripada masyarakat Melayu. Tentangan ini pula berkisar di sekitar masalah kerakyatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu. Akhbar Utusan Melayu dan Majlis turut memainkan peranan menentang Malayan Union. Terengganu juga turut melancarkan tunjuk perasaan menentang Malayan Union pada 24 Januari 1946. Persatuan Melayu Kemaman, Terengganu menghantar kawat kepada Pengerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menentang Malayan Union. Pada 24 Januari 1946, Onn bin Jaafar melalui akhbar Majlis menggesa supaya orang Melayu mengadakan kongres se Tanah Melayu. Dalam Kongres Ketiga yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman pada 1 April 1946 beberapa orang telah dipilih untuk menggubal perlembagaan bagi United Malays National Organisation ( atau UMNO ). Akhirnya dalam perjumpaan 11 Mei 1946 dalam kongres yang berlangsung di Johor Bahru pada 11 – 12 Mei 1946, UMNO dengan rasminya dilahirkan dengan Onn Jaafar menjadi Presiden yang pertama. Berikutnya cawangan UMNO ditubuhkan di negeri-negeri di Tanah Melayu, termasuk Terengganu. menyedari adanya tentangan maka Kerajaan Bitish mengambil sikap berunding dengan orang-orang Melayu untuk merangka Perlembagaan baru.

Sultan Ismail Nasiruddin Shah menurunkan tandatangan ke atas Perjanjian Persekutuan pada 21 Januari 1948 dan Kerajaan British pula diwakili oleh Sir Gerard Edward James Gent. Pada 6 Jun 1949 Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Tengku Ampuan ditabalkan. Kini Terengganu bersama-sama negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu menuju ke arah kerajaan sendiri. Pada 30 September 1952, Menteri Besar Terengganu mengumumkan di dalam Majlis Mesyuarat Negeri, pilihan wakil Majlis Perbandaran Kuala Terengganu akan diadakan pada tahun 1953. Pilihan raya ini adalah berdasarkan kepada Local Authority and Local Council Election Ordinance yang diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Council ) pada 28 September 1950 dan 3 Julai 1952. Kawasan pilihan raya Majlis Perbandaran ini diwartakan dalam Warta Kerajaan pada 21 Januari 1953. Tiga kerusi diperuntukkan dalan pilihan raya ini; Kuala, Ladang dan Bukit Besar. Kemudiannya pilihan raya diadakan, ketiga-tiga kerusi ini dimenangi oleh calon Perikatan.

Perkembangan ke arah berkerajaan sendiri terus berjalan. Pada 7 September 1954, pengisytiharan mengenai pilihan raya bagi negeri dibuat. Pengisytiharan ini dibuat oleh Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan ditandatangani oleh Menteri BesarTerengganu, Encik Kamaruddin Idris. Pilihan raya tersebut akan diadakan pada 29 Oktober 1954. Terengganu memperuntukkan 15 kawasan untuk pilihan raya tersebut. Lima belas kawasan tersebut ialah Kuala Besut, Hulu Besut, Setiu, Bandar Kuala Terengganu, Ladang, Bukit Besar, Kuala Terengganu Utara, Kuala Terengganu Barat, Kuala Terengganu Tengah, Kuala Terengganu Selatan, Hulu Terengganu, Marang, Dungun, Paka-Kemaman Utara dan Kemaman Selatan. Ketika penamaan calon, dua calon Perikatan menang tanpa bertanding.

Calon Perikatan yang menang tanpa bertanding ialah Encik Zainal Abidin bin Mohamed Amin, kawasan Hulu Besut dan Encik Mohamed Taha bin Embong,kawasan Paka- Kemaman Utara. Pilihan raya ini adalah pertama kali di Pantai Timur dan kedua selepas Johor di Pesekutuan Tanah Melayu. Dalam pilihan raya ini, pengundi datang mendaftar sebagai pemilih dan terus mengundi pada hari yang sama. Baki kerusi sebanyak 13 ditandingi oleh 14 calon Perikatan dan 10 calon Negara dan 9 calon Bebas. Dalam pilihan raya tersebut Parti Perikatan memenangi semua kerusi yang dipertandingkan.

Kemudiannya ketetapan telah dibuat untuk mengadakan pilihan raya Persekutuan pada tahun 1955. Seperti juga negeri-negeri lain di Tanah Melayu, Terengganu juga membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya tersebut. Tiga kawasan iaitu Terengganu Utara, Terengganu Tengah dan Terengganu Selatan akan dipertandingkan. UMNO Terengganu dikehendaki mengemukakan calon untuk bertanding dalam pilihan raya itu. Mereka yang dipilih ialah Dato’ Perwira Negara Haji Ali bin Long, Che Ibrahim Fikri dan Wan Yahya bin Haji Mohamed. Kemudiannya Dato’ Perwira Negara Haji Ali bin Long menarik diri daripada menjadi calon pilihan raya Persekutuan 1955. Dengan itu Jawatankuasa Perhubungan UMNO Terengganu bersidang sekali lagi pada 25 Mac 1955 dan sebulat suara bersetuju mencalonkan Engku Mohsein bin Abdul Kadir sebagai ganti calon dalam kawasan Terengganu Tengah. Che Ibrahim Fikri menentang Encik Muhammad Salleh bin Ahmad calon Parti Negara. Engku Mohsein bin Abdul Kadir; calon UMNO bertanding di kawasan Terengganu Tengah menentang calon Parti Negara, Encik Sulaiman bin Ali. Wan Yahya bin Haji Wan Mohamed, calon UMNO pula menentang Ibrahim bin Mat Noh, Parti Negara di kawasan Terengganu Selatan. Dalam pilihan raya yang berlangsung pada 27 Julai 1955 di tiga kawasan, Terengganu Utara, Terengganu Tengah dan Terengganu Selatan, Parti Perikatan berjaya mengalahkan calon Parti Negara. Dalam pilihan raya ini 52 kerusi dipertandingkan di seluruh Tanah Melayu. Parti Perikatan memenangi 51 kerusi dan hanya 1 kerusi sahaja dimenangi oleh Parti Islam SeMalaya ( PAS ) di kawasan Kerian, Perak. Kini Parti Perikatan membentuk kerajaan mentadbir Persekutuan Tanah Melayu. Sementara itu rundingan kemerdekaan diteruskan sehinggalah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.